Saturday, 28 April 2012

Faktor-Faktor Warga Emas Menanggung Risiko Penggunaan Ubat-Ubatan dan Langkah Menanganinya


    Penggunaan ubat-ubatan dalam kalangan warga emas sering mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan para pengkaji dari seluruh dunia. Hal ini disebabkan golongan tersebut memerlukan perhatian yang rapi kerana berdepan dengan risiko ubat-ubatan yang digunakan berbanding dengan golongan muda. Secara umun nya, pada peringkat usia yang melebihi 60 tahun, proses penuaan mempengaruhi fungsi normal organ-organ di dalam badan manusia.
    Hati dan buah pinggang merupakan dua organ terpenting bagi proses metabolisme dan perkumuhan ubat-ubatan di dalam badan manusia. Keberkesanan organ-organ ini semakin menurun dalam kalangan warga emas. Hati dan buah pinggang mereka sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi dengan baik. Penurunan keberkesanan fungsi hati ini akan menyebabkan pengumpulan berlebihan sesetengah ubat di dalam badan mereka. Selain itu, fungsi buah pinggang yang tidak normal juga mempunyai masalah penyingkiran ubat-ubatan.
    Pengumpulan berlebihan dan penyingkiran yang berkurang ubat-ubat akan mengakibatkan peningkatan paras ubat-ubatan yang tidak normal di dalam badan seseorang. Apabila proses penuaan ini berterusan, ada sesetengah sel di dalam badan akan menjadi semakin sensitif terhadap sebatian kimia yang terkandung dalam ubat-ubatan seperti sel-sel di dalam sistem otak dan sistem saraf. Hal seumpama ini akan meningkatkan risiko kesan sampingan ubat-ubatan kepada warga emas.
    Penggunaan pelbagai jenis ubat pada suatu masa juga berisiko tinggi mengalami kesan infeksi ubat-ubatan. Bagi golongan usia yang sedang meniti senja, masalah ini tidak dapat dielakkan  kerana mereka sering menghidapi penyakit kronik. Oleh yang demikian, mereka terpaksa mengambil pelbagai jenis ubatan yang berbeza-beza pada waktu yang sama bagi merawat penykit-enyakit tersebut sekali gus meningkatkan paras ubat dalam badan. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2008 mendapati hampir 65% warga emas yang dimasukkan ke hospital terdedah pada sekurang-kurangnya satu kesan infeksi ubat-ubatan.
    Di samping itu, golongan warga emas tidak mengambil ubat-ubatan mengikut saranan doktor atau ahli farmasi. Masalah ini timbul bukan sahaja disebabkan penyakit nyanyuk, malah berpunca daripada kekeliruan terhadap ubat-ubatan yang diberikan. Tambahan pula, mereka terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat pada masa yang berbeza. Sesetengah ubat tersebut perlu diambil dengan cara yang berbeza. Antaranya termasuklah ubat itu diambil sebelum dan selepas makan. Tidak kurang juga tablet yang terpaksa diletakkan di bawah lidah dan bukan dimakan seperti kebiasaannya.
~Nur Sadiqah~
sumber : minda sastera bahasa

Masalah Dalam Buah Pinggang


    Buah pinggang merupakan salah satu organ yang terpenting di dalam tubuh manusia. Buah pinggang berfungsi untuk menapis darah dan memastikan jumlah air yang perlu untuk disimpan dan dibuang dari dalam tubuh. Namun begitu, keupayaan buah pinggang untuk melakukan tugas-tugas ini berkurangan seiring dengan peningkatan usia tubuh tersebut. Keberkesanan fungsinya akan diganggu lebih awal sekiranya ia tidak dipelihara dengan sempurna.
    Salah satu tanda kerosakan buah pinggang yang nyata dan mudah dilihat adalah, seseorang itu mudah mengalami bengkak yang dipenuhi air di bahagian bawah buku lali. Keadaan ini menjadi semakin nyata apabila air diminum dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa.
    Salah satu punca utama fungsi buah pinggang berkurangan ialah akibat kerosakan berterusan kerana paras glukos yang tinggi. Glukos memusnahkan glomeruli iaitu lebih sejuta kumpulan alat-alat penapis bersifat mikro yang mempunyai jumlah yang luas. Inilah sebabnya individu yang mengalami diabetes mudah mengalami masalah buah pinggang. Antara punca lain ialah terdapat natrium yang berlebihan di dalam darah.
    Oleh sebab itu, buah pinggang yang sihat perlulah dijaga dengan cara memakan hanya makanan yang sihat dan tidak berlebihan gula, garam dan minyak di dalam makanan. Selain itu, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak kerana ia memberi nutrien dan protin yang penting untuk pertumbuhan dan kesihatan tubuh badan kita sendiri.
~Nur Sadiqah~
sumber : minda sastera bahasa

Pengambilan Gula


    Masyarakat moden dewasa ini secara amnya mempunyai tabiat sukakan gula. Mereka sukakan rasa gula yang manis dan menyelerakan. Sesetengah antara mereka pula  berpendapat bahawa gula memberikan tenaga secara semulajadi dalam badan kita. Makanan bergula yang kita makan seharian terdiri daripada dua kategori iaitu pelepasan gula secara pantas dan juga pelepasan gula secara perlahan.
    Buah-buahan manis seperti tembikai, limau mandarin, dan manggis serta glukos, gula putih dan gula pasir merupakan makanan yang mempunyai kategori gula yang dilepaskan secara pantas. Selain makanan yang disebutkan sebelum ini, makanan yang berkeadaan ceruh dan sudah diproses seperti kek, roti canai dan nasi juga turut dikategorikan sebagai makanan yang melepaskan gula secara pantas. Makanan yang  telah diproses mengandungi sangat kurang fiber  tak larut dan lemak-lemak perlu daripada selaput bijirin yang boleh melambatkan pelepasan gula.
    Makanan bergula berpotensi menghasilkan ketagihan terutamanya apabila seseorang individu tersebut mengalami tekanan darah rendah. Keadaan ini biasa berlaku antara dua masa makan iaitu antara sarapan pagi dan makan tengahhari, antara makan tengah hari dan makan malam dan selepas makan malam sehingga waktu pagi sebelum sarapan. Memakan makanan bergula menyebabkan paras glukos dalam darah naik dengan pantas dan kemudian turun dengan pantas. Paras glukos turun jauh di bawahparas normal dan ketika inilah seseorang individu akan mengalami lesu, tidak boleh menumpukan perhatian dan berasa loya, sakit kepala dan teringin makan sesuatu yang manis dan bergula.
    Tekanan darah rendah akan memburukkan lagi keadaan seseorang yang mengalami kemurungan. Memakan makanan berserat tak larut juga menjadikan paras glukos naik dengan kadar perlahan dan tidak setinggi paras berpunca daripada makanan bergula dan diproses, kemudian jatuh perlahan-lahan dan mencapai paras glukos darah normal. Oleh itu, adalah tindakan yang sangat wajar sekiranya kita mengamalkan amalan kesederhanaan dalam apa jua yang kita lakukan termasuklah dari segi pemakanan seharian kita.
~Nur Sadiqah~
sumber : minda sastera bahasa

Punca Kelunturan Nasionalisme di Kalangan Rakyat dan Langkah-Langkah Untuk Mempertahankan Nilai


    Dengan hanya berbaki dua hari sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia menyambut Hari kebangsaan pada 31 Ogos ini, semangat kemerdekaan ini tidak begitu kelihatan atau dapat dirasai sehingga kini. Kedatangan kemerdekaan ke-52 negara seolah-olah dibiarkan berlalu sepi tanpa ada usaha untuk meraikannya. Melihat kepada situasi semasa, kurangnya kemeriahan sambutan Hari kebangsaan kali ini adalah disebabkan tumpuan berlebihan orang ramai terhadap isu-isu yang sedang hangat berlaku ketika ini terutamanya ketidaktentuan terhadap turun naiknya harga minyak.
    Keadaan ini diburukkan lagi dengan kurangnya usaha sektor awam dan sektor swasta untuk menganjurkan program mega atau menymbangkan khidmat sosial kepada masyarakat dalam menyemaikan semangat patriotik. Barangkali situasi ini ada kaitannya dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sebagai langkah berjimat cermat, mereka terpaksa mengeluarkan acara sambutan Hari Kebangsaan daripada belanjawan tahunan.
    Dalam pada itu, pihak media cetak dan elektronik juga seolah-olah tidak memainkan peranan kolektif bagi membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan orang ramai. Pihak media massa seharusnya lebih mendekatkan orang ramai kepada keperitan perjuangan tokoh nasionalis terdahulu dalam mencapai kemerdekaan supaya dapat dihadapi dengan lebih berkesan.
    Hal ini demikian kerana mengenang erti sebenar kemerdekaan membolehkan setiap daripada kita merenung diri sebagai seorang ahli dalam keluarga yang besar melangkaui batas agama, etnik, bangsa, atau gender. Di samping itu, elemen perjuangan kemerdekaan itu akan mengukuhkan pegangan rakyat terhadap nilai toleransi, sikap saling memahami dan menghormati, serta mempertahankannya agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
    Melihat sambutan secara fizikal seperti mengibarkan bendera hanyalah satu simbol semata-mata. Pensyarah Sekolah Sains Sosial,  Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohd Noor Yazid menekankan, kesedaran dan semangat asal kemerdekaan dalam diri setiap rakyat Malaysia itu seharusnya menjadi keutamaan. Apatah lagi, erti kemerdekaan dalam kalagan generasi muda tidak sama dengan asas perjuangan menuntut kemerdekaan yang dirintis oleh para pejuang tanah air.
    Perjuangan kemerdekaan adalah perjuangan yang sangat besar dalam membentuk sebuah negara yang berasaskan prinsip Melayu sebagai bangsa dominan dengan kerjasama kaum-kaum lain. Dalam erti kata yang lain, perjuangan kemerdekaan itu menuju kepada konsep satu negara, satu bangsa serta berteraskan kepada satu rumpun budaya.
    Malangnya, apa yang berlaku ketika ini memberikan gambaran yang sebaliknya apabila konsep negara bangsa itu tidak lagi menjadi pegangan apabila keistimewaan Melayu sebagai identiti kebangsaan semakin lantang dicabar. Selain itu, mereka melihat Hari kemerdekaan itu tidak lebih daripada sambutan perayaan dalam bentuk fizikal semata-mata, sedangkan roh sebenar pembebasan sebuah negara daripada penjajahan tidak lagi wujud dalam diri mereka.
    Menilai luntur nya semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat, keadaan ini berlaku apabila wujudnya pertembungan antara cendekiawan dengan pejuang nasionalisme baru yang semakin melencong daripada prinsip kemerdekaan terdahulu dan meletakkan perjuangan kebangsaan ini di tempat yang tidak sepatutnya.
    Dalam gerakan yang boleh disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baru, setiap rakyat negara ini perlu menolak sekeras-kerasnya rancangan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencemburui kemajuan negara kiata selepas bebas daripada cengkaman penjajah. Justeru, dalam apa-apa jua tindakan, setiap rakyat perlu meletakkan kepentingan negara di atas segala kepentingan lain agar kita tidak kecundang lagi buat kali yang kedua.
~Nur Sadiqah~
sumber : minda sastera bahasa

Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita.

         Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........
Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........
Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
...........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........
Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
.
..........
Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........
Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.



~ Nur Sadiqah~

Sumber http://twoohiok.wordpress.com/2009/09/16/karangan-ramalan-4-kepentingan-memelihara-bangunan-bersearah/
.

Keburukan pelajar menyertai industri hiburan


          Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.
...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

~ Nik Nur Fatin~
Sumber http://twoohiok.wordpress.com/2009/09/16/karangan-ramalan-4-kepentingan-memelihara-bangunan-bersearah/
.

Kepentingan Memelihara dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Negara Kita.

          Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
.
……….
Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.
……….
Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
.
……….
Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
.
……….
Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
.
……….
Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.



~ Anis Zafirah~

Sumber http://twoohiok.wordpress.com/2009/09/16/karangan-ramalan-4-kepentingan-memelihara-bangunan-bersearah/
.

Saturday, 14 April 2012

KESAN JEREBU

    Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini?Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita.
    Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
    Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
    Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejasakibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
    Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
    Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
~Nur Sadiqah~
Sumber : http://bmspm.net/contohkaranganolehcikguanelyza.htm

Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak


    

    Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.
    Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.
    Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.
    Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.
    Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.
    Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah.  Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.
    Namun begitu,  gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga,  program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.
~Nurul Atiqah~
Sumber : minda bahasa

Friday, 13 April 2012

Kucing Nabi Muhammad SAW



Tahukah Anda bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri memiliki kucing peliharaan. Kucing Nabi Muhammad bernama Mueeza.

Setiap Nabi menerima tamu di rumah, baginda selalu mengendong Mueeza dan ditaruh di atas pahanya. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi sukai ialah: Mueeza selalu mengeong ketika mendengar adzan, seolah-olah ngiaunya seperti mengikuti lantunan suara adzan.

Nabi berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan layaknya menyanyangi keluarga sendiri.

Pernah suatu kali Nabi hendak mengambil jubahnya, ternyata Muezza sedang tidur di atasnya.. Nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya supaya tidak membangunkan Muezza.

Ketika Nabi pulang ke rumah, Muezza terbangun dan merunduk kepada majikannya. Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengelus lembut ke badan kucing itu. Nabi menekankan bahwa kucing itu tidak najis.Bahkan diperbolehkan untuk berwudhu menggunakan air bekas minum kucing karena dianggap suci.

Abu Qatadah berkata bahwa Nabi SAW pernah bersabda, “Kucing itu tidak najis. Ia binatang yang suka berkeliling di rumah (binatang rumahan),” [HR At-Tirmidzi, An-Nasa'i, Abu Dawud, dan Ibnu Majah].

Diriwayatkan dan Ali bin Al-Hasan, dan Anas yang menceritakan bahawa Nabi Salallahu ‘alaihi wasallam pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah.Lalu, beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhu untukku ke dalam bejana.”Lalu, Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana.

Namun, seekor kucing datang dan menjilat bejana (bekas minum). Melihat itu, Nabi berhenti sampai kucing tersebut berhenti minum lalu berwudhu.

Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis.”

Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa budaknya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun, ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang solat. Lalu, ia memberikan isyarat untuk menaruhnya.

Sayangnya, setelah Aisyah menyelesaikan shalat, ia lupa pada buburnya. Datanglah seekor kucing, lalu memakan sedikit bubur tersebut.Ketika ia melihat bubur tersebut dimakan kucing, ‘Aisyah ra. lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing, dan Aisyah memakannya.

Rasulullah SAW bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling.” Aisyah pernah melihat Rasulullah Saw berwudhu dari sisa jilatan kucing, [Hadis Riwayat AlBaihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Al-Daruquthni].

Hadis ini diriwayatkan dari Malik, Ahmad, dan imam hadis yang lain. Oleh karena itu, kucing adalah binatang, yang badan, keringat, bekas dari sisa makanannya suci.

Erm, demikian kisah tentang kucing Nabi Muhammad SAW Mueeza. Semoga dengan menghayati kisah di atas, kita akan ketahui betapa kasih sayangnya Rasulullah terhadap haiwan.

Sunday, 8 April 2012

SUNGAI DALAM LAUT


4851636144 8982701d5f (Gambar) Sungai Dalam Laut Terbaru
Kuasa Allah swt tetap berlaku. Apatah lagi apabila ia telah disebut dalam Al-Quran. Subhanallah! Terbaru, sekumpulan saintis Britain menemui sebatang sungai dalam laut yang keenam terbesar di dunia di Laut Hitam di Mediterranean.
Jika sungai itu terdapat di daratan, para saintis yang baru jumpa sungai tersebut menjangkakan ia akan menjadi yang keenam terbesar di dunia berdasarkan jumlah air yang mengalir.
4851018443 360b049bbd (Gambar) Sungai Dalam Laut Terbaru
Menurut pasukan penyelidik dari Universiti Leeds, Britain, sungai itu membawa air masin dan enapan. Pasukan penyelidik itu menggunakan sebuah kapal selam robot untuk mengimbas sungai tersebut dekat Turki.
Sungai dalam laut itu yang satu-satunya yang ditemui setakat ini mengalir dari air masin yang melalui Selat Bosphorus dari Laut Mediterranean ke Laut Hitam. Semasa melalui Laut Hitam itu, airnya mengandungi kandungan garam yang kurang. Penemuan itu akan menjelaskan kenapa kehidupan boleh hidup di laut dalam yang terletak jauh dari air yang kaya dengan khasiat.
Ketua pasukan penyelidik itu, Dr. Dan Parsons memberitahu akhbarSunday Telegraph, pada setiap saat, sungai dalam laut itu membawa 22,000 kubik air yang melalui terowong bawah tanah. Menurutnya, jumlah itu 10 kali ganda lebih besar daripada sungai terbesar di Eropah, Sungai Rhine.
Sungai yang terpanjang di dunia ketika ini ialah Sungai Nil diikuti dengan Amazon, Yangtze, Mississippi-Missouri, Yenisei-Angara Selenga di Rusia dan Mongolia serta Sungai Kuning di China. – Agensi
4851636252 16125cdb5c (Gambar) Sungai Dalam Laut Terbaru

~Nur Sadiqah~

beritasemasa.com/gambar-sungai-dalam-laut-terbaru 

RAHSIA AMALAN SUNAT BERSUGI


TERBUKTI sunnah Rasulullah s.a.w jika diamalkan pasti membawa manfaat dalam kehidupan seharian. Antara amalan yang terbukti hasil kajian saintifik moden ialah kebaikan bersiwak.
Pakar sains kesihatan moden termasuk dari barat memperakui amalan bersiwak paling baik dalam memantapkan kualiti kesihatan diri. Kajian dilakukan sekumpulan pakar jantung di Veterans General Hospital, Taipei, Taiwan yang diketuai Emily Chen berjaya menyingkap rahsia kebaikan membersihkan gigi.
Dr Chen berkata, membersihkan plak pada gigi secara rutin adalah satu cara mencegah serangan strok dan penyakit jantung. Kajian itu merumuskan, sekiranya terdapat jangkitan pada gigi, keadaan itu boleh memudaratkan seseorang dan meningkatkan risiko diserang penyakit jantung.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siwak dapat membersihkan mulut dan membuat Tuhan senang.” (Hadis riwayat Bukhari dari Aisyah).
Begitulah hebatnya Rasulullah sehingga isu pemeliharaan dan penjagaan kesihatan diambil berat terhadap umatnya.
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kalaulah tidak memberatkan bagi umatku, maka aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali ingin mendirikan solat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Imam Abu Daud, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan ayah Miqdam bin Syarih ada mengatakan, yang dia bertanyakan kepada Aisyah, apakah yang dilakukan Rasulullah pertama sekali jika memasuki rumah: Jawab Aisyah, “Bersugi (bersiwak)”.
 Malah, semasa menjalani ibadah puasa Rasulullah sering bersiwak. Ini adalah sunnah yang bukan saja mendapat pahala, malah mendatangkan manfaat besar untuk kesihatan.
Imam Ahmad melaporkan berkenaan kerapnya Rasulullah bersiwak walaupun dalam keadaan berpuasa. Daripada Ibnu Amir bin Rabi’ah, “Saya melihat Rasulullah berkali-kali bersiwak dalam keadaan berpuasa tidak dapat saya hitung dan kesan.”
Ketika berpuasa, mikrobakteria cepat membiak di dalam mulut seseorang. Sebenarnya dalam mulut manusia terdapat cecair ludah melekat di bahagian lelangit dan gigi.
Keadaan itu akan menghasilkan satu lapisan yang sangat halus sehingga mikrobakteria melekat dengan cepat sekali. Oleh itu, lelangit dan gigi sangat perlu kepada penjagaan sempurna setiap hari.
Mulut dan gigi adalah kurniaan Allah yang diciptakan khusus bagi kemudahan hamba-Nya dalam sistem pencernaan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Bersiwaklah (dalam berus) sisa-sisa makanan antara gigi-gigi kerana (membersihkan sisa-sisa makanan semacam itu) termasuk kebersihan dan kebersihan itu membawa kepada iman dan iman itu bersama-sama pemiliknya di syurga.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
~Nurul Atiqah~
www.islamituindah.my/makan-cara-sihat-ikut-sun

MAKAN CARA SIHAT IKUT SUNNAH NABI



KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.
Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.
Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.
Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang
makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”
~Nur Sadiqah~

sumber : www.islamituindah.my/makan-cara-sihat-ikut-sun